IPOH - Rumah Ngaji Perak menyasarkan penyertaan seramai 2,000 orang untuk turut serta dalam penganjuran program World #QuranHour (WQH) di lokasi perdana negeri ini di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) pada 11 Mac ini.
Pengerusinya, Robaatun Hadayiah Harun berkata, penganjuran kali ini melibatkan sinergi di antara Rumah Ngaji Perak bersama Perbadanan Perpustakaan Awam negeri dan Masjid Negeri Perak.
Menurutnya, penggabungan ketiga-tiga entiti dalam menjayakan WQH peringkat negeri Perak pada tahun ini memberikan kelainan berbanding tahun sebelumnya.
"Kita menjangkakan kehadiran yang lebih ramai pada tahun ini dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Masjid Negeri Perak.
"Jadi kita menjangkakan kehadiran mampu mencecah 2,000 pada hari program nanti," katanya kepada Sinar Harian.
Robaatun Hadayiah berkata, pihaknya juga sudah menguar-uarkan program berkenaan melalui media sosial selain mempromosikan melalui saluran radio PerakFM.
Beliau berharap semua jabatan kerajaan, sekolah, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan dapat menghantar wakil menyertai WQH di Masjid Sultan Idris Shah II nanti.
WQH 2026 dijadual berlangsung pada 11 Mac depan dengan membawa tema Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia berpandukan Surah al-Muzammil.
Lokasi perdana WQH tahun ini akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak bermula 12 hingga 1 tengah hari.