SHAH ALAM - Pempengaruh, Zhiddin Aziz antara jemaah Malaysia yang terkandas di Tanah Suci susulan konflik Israel, Amerika Syarikat dan Iran yang menjejaskan ruang udara antarabangsa.
Mas Zhiddin Zhiddan Abdul Aziz, 23, ataupun lebih dikenali sebagai Zhiddin itu memuat naik tangkap layar perbualan bersama ahli keluarga yang bertanyakan perkembangan dirinya selepas selesai menunaikan umrah.
Menurut beliau, penerbangan pulang ke tanah air mereka dibatalkan pada saat-saat akhir berikutan konflik yang berlaku.
"Tolong doakan kami. Penerbangan terpaksa dibatalkan saat akhir susulan khabar peperangan yang mula bergegar.
"Semoga kita semua berada di bawah lembayung-Nya," tulis anak bekas pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Allahyarham Aziz Desa itu dalam Threads.
Pada Sabtu, Israel dan AS melancarkan beberapa siri serangan ke atas sasaran di Iran termasuk Tehran, mengakibatkan kerosakan dan kematian orang awam.
Iran kemudian melancarkan serangan balas ke atas wilayah Israel serta sasaran tentera AS di Asia Barat.
Menerusi ruangan komen, netizen turut mendoakan urusan Zhiddin dan semua rakyat Malaysia dipermudahkan akibat konflik yang berlaku.
Selain itu, netizen turut mendoakan individu terkesan selamat pulang ke tanah air dan sentiasa dalam lindungan ALLAH SWT.