Video tular: 'Anggota polis bukan terima rasuah tapi keluarkan saman'

Iklan
Tular video yang mendakwa pegawai polis menerima rasuah daripada pemandu kenderaan.

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan dalam rakaman video tular di aplikasi TikTok, pegawai polis menerima rasuah daripada pemandu kenderaan di tepi jalan raya Persiaran Jalil Utama Bukit Jalil di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, hasil semakan mendapati kejadian jam 11.20 pagi, empat pegawai polis sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah.

Iklan
Iklan

"Tindakan yang diambil anggota polis ketika itu adalah mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang didapati menghalang lalu lintas.

"Pihak polis turut menasihatkan pemilik kenderaan supaya mengalihkan kenderaan selain mendaftar aplikasi Volunteer Smart Phone Patrol (VSP) PDRM serta mengambil butiran pemilik kenderaan tersebut untuk tujuan rekod," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mohd Rosdi berkata, dua keping saman dikeluarkan oleh pihak polis terhadap pemandu dan sebuah lagi kenderaan kerana kesalahan menghalang aliran lalu lintas.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut kerana ia boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat terhadap tugas dan tanggungjawab anggota polis di lapangan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia komited untuk terus memelihara integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan demi keselamatan dan kesejateraan negara.

"Sekiranya ada mana-mana individu yang mempunyai maklumat lengkap dan sahih berkaitan perkara ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050 / 5051 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.