IPOH – Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut selepas rumah yang didiaminya di Jalan Lahat, Simpang Pulai dekat sini musnah dalam kebakaran pada Rabu.
Mangsa dikenali sebagai Noriah Mat Desa, 81, yang juga merupakan seorang pekak dan bisu, ditemukan rentung di ruang tamu bahagian tengah rumah berkenaan.
Dalam kejadian itu, adik lelaki mangsa berusia 79 tahun terselamat selepas berjaya melarikan diri ketika kebakaran berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.31 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai tiba di lokasi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kelas A yang musnah kira-kira 90 peratus.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah dan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam kediaman tersebut.
“Setelah selesai pemadaman dilakukan, mangsa dijumpai mati terbakar di ruang tamu bahagian tengah rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM bersama polis telah menjalankan siasatan di lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian, selain Unit Pengesan K9 turut dipanggil membantu siasatan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, operasi pemadaman melibatkan 17 anggota dari BBP Simpang Pulai dengan bantuan BBP Pasir Puteh serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru.
“Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran sehingga kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.20 malam.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.01 pagi,” katanya.