SHAH ALAM - Seorang pemandu lori dan kelindan cedera selepas lori membawa muatan sayur-sayuran dan buah-buahan terbabas dalam kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu membabitkan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Bidor, Perak ke Shah Alam.
Iklan
Iklan
“Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah brek sehingga menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum lori terbabit terbabas dan terbalik.
“Pemandu yang berusia lingkungan 20-an turut tersepit di dalam kenderaan berkenaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ramsay berkata, pemandu dan kelindan masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki serta telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri, di talian 019-3229097 bagi membantu siasatan,” ujarnya.