KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi satu-satunya pemimpin yang dicalonkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum dipersetujui sebulat suara.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pemilihan Menteri Besar Terengganu itu turut dipersetujui secara bersama empat presiden parti dalam gabungan berkenaan.
Malah katanya, pencalonan Ahmad Samsuri dibuat sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Perjumpaan berlangsung sangat baik dan penuh harmoni. Dalam setengah jam kami selesaikan.
“Presiden Pas yang mencalonkan Dr Ahmad Samsuri dan sama-sama dipersetujui oleh Dr Ahmad Samsuri. Tiada calon lain yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Tertinggi PN di Pejabat Pas Pusat di sini pada Ahad.
Muhyiddin pada 1 Januari lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN susulan kemelut yang melanda Pas dan Bersatu di Perlis.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh beliau melalui satu hantaran di Facebooknya.
Sementara itu, Takiyuddin turut mengesahkan keempat-empat presiden parti dalam gabungan PN hadir dalam mesyuarat berkenaan.
Empat pemimpin parti itu terdiri Abdul Hadi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S P Punithan.