LANGKAWI – Seorang lelaki warga China ditemui lemas pada pagi Sabtu selepas dilaporkan hilang ketika berenang berhampiran Pantai Tanjung Rhu di sini pada Jumaat.
Mangsa, Mingfei Lan, 48, dari Shanghai, China dikatakan berenang seorang diri ke arah Pulau Cabang kira-kira jam 5.30 petang sebelum disedari hilang oleh ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.34 malam menerusi panggilan MERS 999.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Ayer Hangat dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 7.50 malam, namun mangsa masih belum ditemui.
“Hasil maklumat awal, mangsa dipercayai berenang seorang diri ke arah Pulau Cabang. Anak mangsa menyedari bapanya tidak timbul di permukaan air sekitar jam 6 petang sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan resort untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba di lokasi kira-kira jam 8.58 malam bersama lapan anggota serta sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Menurutnya, operasi turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Marin.
“Mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan tertiarap di permukaan air berhampiran Pulau Cabang kira-kira 50 meter dari lokasi dipercayai dia berenang, sekitar jam 9.45 pagi ini,” ujarnya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan.