KOTA KINABALU - Seorang jemaah dilaporkan meninggal dunia selepas selesai menunaikan solat Isyak di Masjid Jamek Kampung Likas di sini pada malam Khamis.
Menerusi perkongsian di laman Facebook masjid berkenaan, lelaki tersebut merupakan antara jemaah yang hadir setiap hari ke masjid bagi menunaikan solat fardu.
"Pihak Masjid Jamek kampung Likas mengucapkan salam takziah kepada pihak keluarga atas pemergian ayahanda mereka.
"Arwah merupakan salah seorang jemaah yang rutin hariannya hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardu," tulis hantaran tersebut.
Hantaran itu turut menyifatkan pemergian arwah sebagai satu husnul khatimah yang dicemburui ramai, apatah lagi berlaku selepas menunaikan solat fardu Isyak pada malam Jumaat dalam bulan Ramadan yang mulia.
"Pemergian almarhum ini adalah merupakan keuntungan yang dicemburui selepas menunaikan solat fardhu Isyak pada malam Jumaat dan bulan yang mulia bulan Ramadan.
"Semoga Allah menerima segala amal kebaikannya. Al-Fatihah," katanya.
Hantaran sama turut dikongsikan dengan petikan doa buat arwah yang sering dibacakan dalam solat jenazah, memohon keampunan serta rahmat ALLAH SWT ke atas rohnya.