IPOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Salak memohon Lembaga Rayuan parti agar mempertimbangkan semula keputusan pemecatan terhadap ketua bahagiannya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Setiausaha Bersatu Bahagian Pasir Salak, Noridayu Ismael berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan terhadap Zainol Fadzi.
Menurutnya, bagaimanapun permohonan rayuan wajar dipertimbangkan berdasarkan keseluruhan latar belakang serta rekod perjuangan pemimpin berkenaan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik.
"Bersatu Bahagian Pasir Salak menghormati keputusan Lembaga Disiplin parti berhubung tindakan terhadap Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
"Namun demikian, dengan mengambil kira jasa, komitmen serta sumbangan besar yang telah dicurahkan oleh Datuk Zainol Fadzi dalam memperkukuh dan membangunkan parti di Bahagian Pasir Salak, kami dengan penuh rendah hati memohon agar Lembaga Rayuan parti dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Noridayu menjelaskan seluruh Jawatankuasa Bersatu Bahagian Pasir Salak kekal utuh dan terus komited melaksanakan tanggungjawab seperti biasa bagi memastikan kestabilan organisasi serta kelancaran gerak kerja parti di kawasan berkenaan.
Menurutnya, bagi memastikan kesinambungan pentadbiran bahagian, kepimpinan kini dipangku oleh Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak, Mohammad Zahid Ahmad Nawawi selaras dengan peruntukan Fasal 19.9 Perlembagaan parti.
Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata, Bersatu Bahagian Pasir Salak akan memperhebat usaha memperkukuhkan jentera parti di peringkat akar umbi selain menyusun strategi lebih tersasar serta meningkatkan kehadiran bersama rakyat.
Katanya, hubungan kerjasama bersama rakan komponen Perikatan Nasional di kawasan Pasir Salak turut akan terus diperkasa bagi memastikan kesepaduan dan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Pada 13 Februari lalu Sinar Harian melaporkan Zainol Fadzi antara 17 pimpinan Bersatu Perak yang dipecat Lembaga Disiplin parti itu kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Antara wakil rakyat dari Perak yang turut dipecat ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.