SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhadapan kemerosotan beransur-ansur menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya gagal melakukan transformasi dan menstabilkan struktur parti.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, Bersatu perlu beralih daripada model parti berasaskan personaliti kepada organisasi yang lebih berinstitusi dengan proses dalaman dan kepimpinan kolektif yang lebih tersusun.
Menurut beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden yang sah dari sudut perlembagaan parti, namun kedudukannya dilihat berdepan tekanan politik susulan peralihan sokongan dalam kalangan ahli Parlimen parti itu.
"Dalam politik, keabsahan tidak hanya diukur melalui Perlembagaan tetapi melalui sokongan yang nyata. Jadi apabila dua pertiga ahli Parlimen parti memihak tokoh yang dipecat, kita menyaksikan krisis legitimasi dan bukan sekadar krisis disiplin.
"Jika pusat graviti kuasa beralih ke blok ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin, maka Muhyiddin berdepan risiko menjadi Presiden yang menguasai struktur, tetapi kehilangan kawalan terhadap sumber kuasa sebenar iaitu sokongan legislatif," katanya.
Mujibu berkata, kecenderungan majoriti ketua bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menyokong Hamzah menunjukkan kepimpinan pusat sedang dicabar secara terbuka.
Tambahnya lagi, situasi itu membawa kepada kehilangan keupayaan pimpinan parti mengawal proses pemilihan calon dan strategi pilihan raya selain wujudnya risiko perpecahan jika tiada penyelesaian dalaman dicapai.
"Namun perlu juga diingat bahawa sokongan politik bersifat dinamik yang mana ia boleh berubah bergantung kepada perkembangan seterusnya.
"Jika kepimpinan pusat berjaya mengekalkan kawalan terhadap sumber organisasi dan struktur rasmi, sebahagian sokongan mungkin kembali kepada arus utama," ujarnya.
Ditanya hubungan dalam Perikatan Nasional (PN), Mujibu berpandangan kemungkinan Pas keluar daripada PN semata-mata untuk mengikuti individu tertentu adalah rendah.
Katanya, Pas kini berada dalam kedudukan relatif kuat dalam blok pembangkang berikutan pengaruhnya jelas dalam PN dengan asas penyokong yang setia dan struktur jentera parti mantap.