SELANGOR FC melaksanakan penstrukturan semula bagi memperkasakan organisasi dan pembangunan akar umbi daripada peringkat sekolah dan belia sehingga pasukan utama.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Selangor FC berkata, langkah itu bertujuan memastikan sistem bola sepak negeri berfungsi secara menyeluruh dan berkesan di samping memastikan setiap keputusan dibuat demi kemajuan sukan tersebut dan bukan untuk kepentingan lain.
"Beta percaya bola sepak hari ini bukan sekadar apa yang berlaku di atas padang, ia adalah tentang membina sebuah institusi yang kukuh membentuk komuniti dan persatuan yang mengeratkan hubungan emosi kelab dan penyokong.
"Dalam menyelesaikan visi dan wawasan ini pendekatan profesional akan terus dititikberatkan dalam pengurusan," katanya pada Majlis Pelancaran dan Jualan Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor sempena Hari Legasi Merah Kuning di sini hari ini.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis itu.
Tengku Amir Shah berkata, bola sepak mesti diuruskan secara moden, mampan dan berdaya saing, tanpa mengabaikan tradisi dan identiti.
Selain itu, baginda menyatakan tidak berkenan untuk mengisi kekosongan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Oh tidak, saya tidak berminat (jawatan Presiden FAM). Saya berminat dengan FAS dan banyak yang kita mahu capai buat masa ini," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Real Warriors (KTRW), Datuk Mohd Irwan Rizal berkata, selain Tengku Amir Shah, antara calon terbaik untuk jawatan tersebut termasuk Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Buku Gemilang yang menceritakan Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor dan kronologi skuad Gergasi Merah dijual dengan harga RM200 dan keuntungan jualan akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung kebajikan veteran skuad Selangor. - Bernama