PKR Kedah sasar jadi alternatif terbaik rakyat

Iklan
Anwar (depan, tengah) merasmikan Konvensyen Keadilan Kedah di Alor Setar pada Jumaat.

ALOR SETAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menyasarkan untuk muncul sebagai alternatif terbaik kepada rakyat negeri ini menerusi pendekatan politik berteraskan integriti, penyelesaian serta tadbir urus yang adil dan berwibawa.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, usaha itu selaras dengan iltizam Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Kedah diperkukuh semula sebagai antara kubu utama parti dalam meneruskan perjuangan reformasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedudukan PKR yang semakin mantap dan tersusun ketika ini memberi keyakinan kepada parti untuk memperkukuh peranannya di negeri tersebut melalui perancangan strategik serta pengukuhan organisasi.

“PKR Kedah akan memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur kepimpinan, kesiapsiagaan jentera parti serta penyatuan pengalaman pimpinan terdahulu dengan semangat generasi baharu bagi memastikan gerak kerja yang lebih berkesan dan berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, pendekatan politik PKR Kedah akan terus berteraskan fakta serta penyelesaian yang jelas, selain memastikan kepentingan dan keperluan rakyat terus diberi keutamaan.

Katanya, parti itu komited untuk terus mendekati rakyat dengan memahami realiti setempat serta memperkukuh hubungan pada peringkat akar umbi.

Iklan

“Keutamaan parti adalah memastikan PKR kekal dekat dengan rakyat melalui pendekatan yang adil, telus dan berwibawa.

“Seiring dengan hala tuju kepimpinan parti, PKR Kedah akan terus menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang serta menampilkan kepimpinan berprinsip dalam memikul amanah kepada negeri,” ujarnya.

Tambahnya, usaha memperkukuh organisasi dan memperkasa jentera parti dilihat penting bagi memastikan PKR kekal relevan dan berupaya menawarkan kepimpinan yang diyakini rakyat.

Menurutnya, PKR Kedah optimis bahawa dengan kesatuan pimpinan dan anggota parti, usaha untuk memperkukuh kedudukan parti serta muncul sebagai alternatif terbaik kepada rakyat negeri ini mampu direalisasikan.