UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset terus memperkukuhkan momentum pembangunan hartanah di pasaran Johor menerusi sambutan memberangsangkan terhadap projek kediaman premium UDA Heights.
Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Azrudyn Rashid berkata, hampir 80 peratus unit kediaman impian, banglo dan rumah berkembar dua tingkat projek itu habis dijual.
“Alhamdulillah, lebih 70 pembeli menerima kunci pada Majlis Penyerahan Kunci UDA Heights yang diadakan baru-baru ini.
“Lebih membanggakan, projek ini turut berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan, mencerminkan komitmen kami dalam memastikan pelaksanaan projek yang cekap dan berkualiti," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Azrudyn, pencapaian ini menjadi pemangkin kepada UDA untuk terus komited dalam membangunkan projek berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran hartanah negara serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
UDA Heights yang terletak di lokasi strategik di Bandar UDA Utama menawarkan dua jenis kediaman iaitu banglo enam bilik tidur serta enam bilik air dan rumah berkembar dilengkapi lima bilik tidur dan enam bilik air.
Ia direka khusus untuk memenuhi keperluan kediaman tiga generasi yang turut dilengkapi dengan bilik utiliti untuk ruang pejabat atau pembelajaran di rumah, dapur kering dan dapur basah serta tandas mesra orang kurang upaya (OKU).
Pembangunan ini juga menerapkan inisiatif penuaian air sebagai sebahagian daripada komitmen UDA yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terhadap ciri pembangunan lestari.
Banglo bersaiz lot 80’ x 90’ ditawarkan pada harga bermula RM2.2 juta serta rumah berkembar bersaiz lot 50’ x 70’ pada harga bermula RM1.7 juta.
Tambah Azrudyn, UDA sentiasa komited dalam menyediakan pembangunan berkualiti tinggi selari dengan keperluan dan kemampuan masyarakat khususnya di kawasan berpotensi seperti Johor.
“Sehingga kini di Johor sahaja, UDA menerusi UDA Land (South) Sdn Bhd telah berjaya membangunkan hampir 9,000 unit kediaman dan komersial dengan lebih 70 peratus daripadanya merupakan pembeli Bumiputera.
“Inisiatif ini menyokong pemilikan hartanah dalam kalangan masyarakat majmuk termasuk pembeli pertama serta golongan profesional khususnya di kawasan bandar,” katanya.
Ujar beliau, pembangunan itu dirancang secara holistik demi kesejahteraan sosioekonomi komuniti di samping menjamin nilai jangka panjang kepada pemilik.
“Berbekalkan pengalaman ini, kami komited untuk terus membangunkan projek pembangunan berkualiti serta memenuhi keperluan semasa sesuai dengan peranan sebagai antara pemaju hartanah terkemuka di selatan tanah air khususnya di Johor,” katanya.
Antara projek kediaman yang sedang dibangunkan ialah Sedili Residensi di Tanjung Sedili, Kota Tinggi yang menawarkan 48 unit rumah teres satu tingkat mampu milik.
Setiap unit berkeluasan kira-kira 861 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air dengan harga bermula daripada RM320,060.
“Pada tahun ini, UDA optimis untuk melancarkan tiga projek baharu. Antaranya ialah Residensi Monstera yang menampilkan gabungan rumah bandar dua dan tiga tingkat.
“Selain itu, bagi meneruskan kesinambungan pembangunan baharu di Bandar UDA Utama menerusi UDA Enclave, kami juga bakal melancarkan projek UDA Amarylis Plot 1 dan Plot 2 yang merangkumi pembangunan rumah teres dua tingkat,” katanya.
Ujar Azrudyn lagi, seiring dengan aspirasi ‘Memenuhi Impian’, UDA bertekad untuk terus memainkan peranan strategik dalam membangunkan bandar, memperkasa usahawan dan membina komuniti mampan melalui pembangunan hartanah, ekosistem komersial yang dinamik, hospitaliti bernilai tambah serta pengurusan fasiliti yang profesional.
“Setiap inisiatif dipacu pendekatan berteraskan tanggungjawab, kelestarian dan tadbir urus yang baik, disokong oleh amalan mesra alam, keterangkuman sosial serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan daya tahan jangka panjang,” katanya.