'Bukan benci Muhyiddin, tapi nak elak Bersatu hancur' - MP Ketereh

Iklan
Khlir (kiri), Muhyiddin (kanan).

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor mengesahkan beliau antara salah seorang individu yang menandatangani akuan bersumpah (SD) mendesak Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagaimana tular di laman sosial pada Jumaat.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan pada Khamis dan turut melibatkan 16 Ahli Parlimen dari Bersatu termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan yang telah dibuang daripada parti.

Iklan
Iklan

"Tindakan ini bukan kerana kami benci beliau (Muhyiddin) sebaliknya mahu pastikan Bersatu tidak hancur

"Kami akui, jasa beliau kepada parti sangat besar. Tapi jika beliau tidak berundur dikhuatiri Bersatu akan berpecah. Kami berharap beliau berundur secara terhormat selepas meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN (Perikatan Nasional)," katanya ketika dihubungi.

Iklan

Menurut beliau, susulan perletakan jawatan itu Muhyiddin perlu membuat tindakan sama dengan melepaskan tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu.

Ujarnya, tindakan berkenaan bagi memastikan Bersatu kembali kukuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

Iklan

Ketika diminta mengulas pengganti Muhyiddin, Khlir memberitahu, perkara tersebut diserahkan kepada Majlis Tertinggi parti untuk membuat keputusan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menggesa supaya Muhyiddin berundur daripada jawatannya sebagai presiden bagi membina semula kekuatan parti.

Ronald berkata, ia kerana bekas Perdana Menteri itu didakwa gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.