Trafik WCE dijangka naik 35 peratus sempena Tahun Baharu Cina

Iklan
WCE menjangkakan trafik melonjak 160,000 kenderaan sehari iaitu peningkatan 35 peratus sempena Tahun Baharu Cina Selasa ini.

TELUK INTAN - Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) menjangkakan trafik melonjak 160,000 kenderaan sehari sempena Tahun Baharu Cina, pada Selasa ini.

Pengarah Urusannya, Lyndon Alfred Felix berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir 35 peratus berbanding purata 120,000 kenderaan sehari yang direkodkan sepanjang musim perayaan sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, peningkatan itu didorong faktor cuti persekolahan serta jangkaan pertama Ramadan pada minggu sama dengan sambutan perayaan berkenaan.

"Lonjakan berkenaan turut mencerminkan keyakinan rakyat Malaysia yang semakin memilih WCE sebagai laluan alternatif utama di pesisir Pantai Barat.

Iklan

"WCE kini bukan lagi sekadar jalan pilihan, sebaliknya sudah menjadi nadi penghubung penting yang membantu menyuraikan kesesakan kritikal dari laluan sedia ada,” katanya ketika berucap semasa Kempen Op Selamat Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Perak di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya melakukan persediaan rapi bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa berada pada tahap optimum.

Iklan

Beliau memberitahu, antara pembaharuan diperkenalkan tahun ini ialah penyediaan fasiliti pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkapasiti tinggi dengan kerjasama rakan strategik, DC Handal.

Katanya, Kemudahan pengecasan itu disediakan di Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Taiping Selatan di jajaran Perak, serta Plaza Tol SAE dan Plaza Tol Assam Jawa di jajaran Selangor, sekali gus membolehkan pengguna EV menikmati pengecasan pantas tanpa perlu menunggu lama.

"Dalam aspek keselamatan penunggang motosikal pula, WCE menyediakan 52 Zon Berteduh lengkap dengan pencahayaan solar yang terpisah daripada laluan utama sebagai lokasi selamat untuk berehat.

"Selain itu, enam Hentian Rehat dan Rawat (RSA) iaitu di Sungai Nyior arah utara dan selatan termasuk RSA baharu di Bukit Kapar arah utara dan selatan, Sijangkang serta Johan Setia kini beroperasi sepenuhnya bagi memberi keselesaan maksimum kepada pengguna," tambah beliau.

Mengulas mengenai dari segi operasi, Lyndon Alfred berkata, WCE turut mengaktifkan lorong simpanan di plaza tol laluan utama seperti Hutan Melintang, Teluk Intan, Lekir dan Taiping Selatan bagi melancarkan transaksi tol pada waktu puncak.

"Pusat Kawalan Trafik akan beroperasi 24 jam dengan kekuatan 20 pegawai trafik serta 60 anggota peronda WCE Patrol bagi memantau aliran trafik dan memberi tindak balas kecemasan pantas terhadap sebarang insiden," jelas beliau.

Katanya, seramai 230 petugas tol akan ditempatkan setiap hari di kesemua 14 plaza tol yang beroperasi dengan pertambahan kakitangan sekitar 25 peratus berbanding kapasiti sedia ada bagi memastikan kelancaran transaksi dan mengurangkan risiko kesesakan.

Lyndon turut merakamkan penghargaan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kakitangan barisan hadapan WCE yang akan bertugas sepanjang musim perayaan.

Beliau turut menasihatkan pengguna merancang perjalanan lebih awal, menggunakan aplikasi WCE untuk mendapatkan maklumat trafik semasa dan memandu secara berhemah demi memastikan setiap perjalanan berakhir dengan selamat.

"Marilah kita pastikan setiap perjalanan yang bermula di lebuh raya ini berakhir dengan kepulangan yang selamat ke pangkuan keluarga," jelas beliau.