KAJANG – “Kakak ingatkan itu ubat batuk tapi rupanya methadone, kesemua anak-anak batuk serentak dia tak sengaja.”
Demikian penjelasan seorang individu yang mendakwa merupakan ahli keluarga kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia akibat keracunan methadone dalam kejadian di Sungai Ramal Baru di sini pada Rabu.
Individu itu menerusi ruangan komen di aplikasi TikTok menegaskan, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada kekeliruan botol ubat yang mempunyai rupa dan label hampir sama, bukannya diberikan secara sengaja seperti didakwa segelintir pihak.
Menurutnya, ibu kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan terlalu letih selepas menjalani rawatan fisioterapi di hospital ketika kejadian berlaku.
Katanya, ketika itu kesemua anak-anaknya mengalami batuk serentak sebelum wanita berkenaan tersalah memberikan cecair yang disangka ubat batuk.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan tiga daripada empat beradik telah meminum cecair berkenaan, manakala abang sulung terselamat kerana tidak mengambilnya.
Beliau turut memberitahu, dua lagi adik mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dilaporkan kritikal namun stabil dan sudah sedar.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia, manakala dua adiknya masih menerima rawatan selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone oleh ibu mereka.
Kejadian terbongkar selepas ketiga-tiga kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN) dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 7.50 pagi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima maklumat daripada pegawai perubatan HTPN berhubung tiga kanak-kanak lelaki warga tempatan yang dibawa ke Jabatan Kecemasan kira-kira pukul 9.01 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 11 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala dua lagi mangsa masing-masing berusia sekitar 10 dan lima tahun menerima rawatan di ICU.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan ibu dan bapa mangsa berusia lingkungan 35 dan 44 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.