PBB lapor serangan udara, artileri berterusan Israel di Gaza

Iklan
Israel melancarkan serangan udara, bedilan artileri dan tembakan berterusan di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu. Foto Agensi

HAMILTON (Kanada) - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa melaporkan serangan udara, bedilan artileri dan tembakan berterusan oleh tentera Israel di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, sambil memberi amaran bahawa serangan ke atas kawasan kediaman meletakkan orang awam pada risiko serius, lapor Anadolu Ajansi.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam satu sidang media memaklumkan "lebih banyak laporan mengenai serangan udara, pengeboman, bedilan artileri, tembakan tentera laut dan tembakan senjata api dalam tempoh 24 jam lalu” di Gaza.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, serangan itu termasuk serangan di kawasan kediaman, yang"meletakkan orang awam dalam bahaya dan menambah penderitaan yang telah mereka alami sepanjang 28 bulan lalu.”

Dujarric menegaskan bahawa"orang awam dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, di mana-mana sahaja mereka berada, sama ada mereka melintasi garisan persempadanan tentera atau hanya berada berhampiran dengannya,” sambil menambah bahawa"orang awam dan infrastruktur awam mesti sentiasa dilindungi semasa operasi ketenteraan, dan langkah berjaga-jaga yang berterusan mesti diambil untuk mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa."

Iklan

Mengenai aspek perlindungan, beliau berkata, rakan kongsi PBB telah menyediakan bantuan kecemasan kepada ribuan keluarga yang hilang tempat tinggal.

"Minggu lalu, mereka telah menyediakan tempat perlindungan kecemasan kepada lebih 5,600 keluarga, termasuk hampir 5,000 kain terpal dan lebih 12,000 barangan kelengkapan tempat tidur dalam tempoh lebih seminggu,” katanya, namun memberi amaran bahawa penyelesaian yang lebih mampan amat diperlukan.

Iklan

"Ini memerlukan kebenaran untuk membawa masuk jentera dan bahan bagi membaiki infrastruktur yang rosak,” kata Dujarric, sambil menggesa supaya semua sekatan Israel terhadap operasi kemanusiaan di Gaza ditarik balik. - Bernama-Anadolu