Hasrat Sabri lengkapkan kemenangan hatrik Malaysia tidak kesampaian

Iklan
Sabri membuat kemunculan pertama di pentas ONE Championship. - Foto: Agensi

HASRAT petarung Muay Thai negara, Wan Muhammad Sabri Wan Zuki atau Sabri Thaivisix, 23, untuk melengkapkan kemenangan hatrik Malaysia di ONE Friday Fights 141 tidak kesampaian selepas tewas knockout (KO) kepada wakil Jepun, Ramu Araya dalam pertarungan kategori flyweight di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Jumaat.

Sabri yang membuat penampilan kali pertama di pentas ONE Championship memulakan pertarungan dengan baik apabila beberapa serangannya menemui sasaran pada pusingan pertama, sekali gus meningkatkan keyakinannya.

Iklan
Iklan

Memasuki pusingan kedua, Sabri memilih pendekatan lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru, namun kelihatan bergelut untuk mencuri mata apabila pergerakannya sedikit perlahan.

Bagaimanapun, beliau berjaya melepaskan tumbukan padu yang menjatuhkan Araya dua kali berturut-turut.

Iklan

Usaha Sabri untuk mencari jatuhan ketiga bagi meraih kemenangan teknikal knockout (TKO) tidak berhasil, memaksa pertarungan diteruskan ke pusingan penentuan.

Namun, pada pusingan ketiga, Sabri ‘terperangkap’ dengan hayunan tumbukan Araya yang mendarat tepat ke dagu, menyebabkan petarung negara itu tumbang dan memaksa pengadil menghentikan pertarungan.

Iklan

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal melengkapkan kemenangan hatrik pada aksi berkenaan, meskipun dua lagi wakil negara mencatat kejayaan lebih awal.

Walaupun tewas, aksi berani dan disiplin ditampilkan Sabri sepanjang pertarungan tetap memberi gambaran positif terhadap potensinya untuk terus bersaing di pentas ONE Championship.

Terdahulu, sensasi muda negara Adam Rakib mencuri tumpuan apabila menewaskan wakil Maghribi, Walid Snoussi menerusi KO pada pusingan kedua, sekali gus merekodkan kemenangan ketiga daripada empat pertarungan dalam kategori strawweight ONE Championship.

Sementara itu, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar turut menepati ramalan apabila menundukkan wakil Myanmar, Ye Yint Naung menerusi keputusan majoriti juri dalam pertarungan flyweight Muay Thai.