BATC 2026: Skuad wanita tersingkir lagi di suku akhir

Iklan
Letshanaa turun sebagai pemain pertama di Gimnasium Qingdao Conson, namun gagal menandingi An Se Young apabila tewas 11-21, 11-21. Gambar fail Bernama

KEMPEN skuad wanita negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China, berakhir selepas tewas 0-3 kepada naib juara dua kali, Korea Selatan di suku akhir pada Jumaat, iaitu kali kedua berturut-turut selepas edisi sebelum ini.

Perseorangan utama negara, K Letshanaa turun sebagai pemain pertama di Gimnasium Qingdao Conson, namun gagal menandingi An Se Young apabila tewas 11-21, 11-21, menjadikan kekalahan ketiga berturut-turut kepada pemain nombor satu dunia itu. 

Iklan
Iklan

Dalam perlawanan kedua, beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting turut gagal menemui rentak masing-masing apabila tunduk kepada Baek Ha Na-Kim Hye Jeong, 13-21, 9-21.

Korea Selatan kemudian mengesahkan tempat ke separuh akhir menerusi kemenangan straight-set oleh pemain perseorangan kedua mereka Park Ga Eun ke atas Wong Ling Ching, 21-16, 21-12.

Iklan

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen mengakui pasukan Korea Selatan sememangnya terlalu kuat buat Malaysia. 

"Saya nampak beberapa perkara positif dalam pemain kita terutama di peringkat awal perlawanan tetapi apabila pemain Korea meningkatkan tahap permainan mereka, kita tidak cukup untuk lawan balik dan terus bersaing.

Iklan

"Banyak yang boleh dipelajari oleh pemain muda kita daripada kejohanan ini. Kita perlu kembali dan terus berlatih serta terus mencabar batas kemampuan pemain untuk mereka mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Dengan keputusan hari ini, pencapaian terbaik skuad wanita negara pada kejohanan tersebut kekal dua pingat gangsa yang dimenangi pada edisi 2020 dan 2022. - Bernama