BINTANG sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air, namun kali ini bukan dengan kelincahannya di atas padang.
Pemain sayap lincah itu membuat kejutan apabila kini bergelar model untuk sebuah jenama baju melayu terkenal, ketika beliau sedang melalui fasa pemulihan akibat kecederaan hamstring yang dialaminya pada tahun lalu.
Penampilan segak Arif memperagakan busana tradisional itu nyata mengubat kerinduan peminat yang menantikan perkembangan terbaharunya.
Arif Aiman sebelum ini telah mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan sukan terkemuka dunia, Dr Lempainen Lasse selepas kecederaanya itu.
Susulan rawatan tersebut, beliau perlu berehat sekitar tiga bulan akibat kecederaan serius yang dialaminya ketika menggalas tugasan antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya.
Arif Aiman hanya sempat beraksi selama lapan minit ketika aksi menentang Nepal dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 18 November lepas, sebelum terpaksa diusung keluar padang.
Tempoh rehat panjang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain berusia 23 tahun itu untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti di luar bola sepak.
Sebelum tular dengan wajah baharu sebagai model, Arif turut menarik perhatian netizen di media sosial menerusi gelagat bersahajanya mempamerkan kemahiran memasak burger.