CovidSinar: Lagi 20,000 topeng muka diagihkan

Iklan
Wakil Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 yang beroperasi di CIAST, Shah Alam menerima sumbangan peralatan untuk petugas kesihatan di Kumpulan Karangkraf semalam. - Foto ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Sebanyak 20,000 lagi topeng muka diagihkan kepada beberapa klinik kesihatan hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) semalam.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, pengagihan topeng muka tersebut melibatkan sebanyak 13 klinik kesihatan, Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 yang beroperasi di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di sini dan di Simpang Renggam, Johor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 7,500 keping topeng muka diperuntukkan kepada lima klinik kesihatan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Lembah Pantai dan Titiwangsa yang kini merupakan antara kawasan tertinggi penularan wabak Covid-19.

"Selain zon merah di Kuala Lumpur, kita turut mengagihkan sebanyak 5,000 topeng muka di enam klinik kesihatan di bawah Pusat Kesihatan Daerah Petaling.

Iklan

"Sebanyak 1,500 topeng muka turut disalurkan masing-masing kepada Klinik Kesihatan Balakong, Klinik Kesihatan Bangi dan Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 di CIAST.

"Malah, kita juga turut memperuntukkan sebanyak 3,000 topeng muka untuk disalurkan kepada petugas-petugas kesihatan di Simpang Renggam yang kini menjadi lokasi pertama dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Khamis lalu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di pusat operasi dan pengumpulan Tabung Covid Sinar di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Auzani

Auzani berkata, selain topeng muka, semua klinik kesihatan berkenaan turut menerima peralatan perlindungan diri (PPE), cecair basmi kuman, isolation gown dan minuman mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, Tabung CovidSinar turut berterima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia yang masih menghulurkan sumbangan dan bantuan sejak ia dilancarkan pada 18 Mac lalu.

"Hari ini (semalam) kita kita telah menerima bekalan sebanyak 2,000 PPE, isolation gown (500), 250 liter cecair basmi kuman dan 60 topeng muka.

"Kita masih menunggu penghantaran sebanyak 8,000 sarung tangan dan 40 unit infrared thermometer yang dijangka tiba esok (hari ini),” katanya.

Petugas CovidSinar menunjukkan PPE yang diberikan kepada petugas barisan hadapan. - Foto ROSLI TALIB

Selasa lalu, Tabung CovidSinar telah mengagihkan sebanyak 5,000 topeng muka di beberapa klinik kesihatan dalam zon merah di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sinar Harian mengaktifkan CovidSinar bagi membolehkan rakyat Malaysia tampil bersama-sama mengumpul dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan bagi membantu petugas barisan hadapan.

Setakat jam 8.30 malam semalam, jumlah keseluruhan sumbangan diterima menerusi Tabung CovidSinar berjumlah RM444,792.99.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 10 klinik kesihatan terima manfaat Tabung CovidSinar