KETUA jurulatih Chelsea, Liam Rosenior dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemain Arsenal dalam satu insiden tegang yang berlaku sebelum aksi separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris di Stadium Emirates, awal pagi Rabu.
Pengendali berusia 41 tahun itu kelihatan berang ketika sesi pemanas badan apabila dia didakwa tidak senang dengan tindakan pemain Arsenal yang memasuki kawasan separuh padang Chelsea.
Rakaman kamera televisyen menunjukkan Rosenior memberi isyarat kepada barisan kejurulatihnya sebelum mengangkat tangan ke arah pemain lawan.
Menurut laporan Sky Sports, Rosenior memberi arahan secara lantang agar pemain Arsenal tidak memasuki kawasan separuh padang Chelsea.
Bekas pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp, turut mengulas insiden itu dengan berkata: “Jelas kelihatan dia meminta pemain itu kekal di kawasan mereka. Saya sendiri tidak melihat keseluruhan situasi, tetapi mungkin ada bola yang masuk ke kawasan mereka.”
Rosenior dilihat cukup bersemangat menjelang perlawanan itu ketika Chelsea berusaha mengatasi defisit satu gol selepas tewas 3-2 pada aksi separuh akhir pertama di Stamford Bridge bulan lalu.
Chelsea memulakan perlawanan dengan positif, menekan tinggi dan mencipta beberapa peluang awal.
Liam Delap melepaskan rembatan tersasar pada minit kelapan selepas William Saliba gagal mengeluarkan bola dengan kemas, manakala Trevoh Chalobah turut memperoleh peluang hasil sepakan sudut tetapi gagal menyudahkan cubaan tepat ke sasaran.
Di bahagian serangan Arsenal, Piero Hincapie menguji kecekapan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez menerusi percubaan jarak jauh, manakala percubaan Gabriel Martinelli berjaya disekat Malo Gusto.
Viktor Gyokeres yang kurang terlibat pada awal permainan turut mencuba nasib, namun pertahanan Chelsea bertindak pantas menyekat percubaannya.
Bekas penyerang Chelsea, Kai Havertz yang dibawa masuk pada minit ke-69 bagi menggantikan Gyokeres meledak gol kemenangan The Gunners pada lewat permainan untuk tuan rumah mara ke perlawanan akhir menerusi agregat 4-2.
Rosenior sebelum ini mencuri tumpuan selepas mencatat permulaan meyakinkan bersama Chelsea sejak menggantikan Enzo Maresca pada awal Januari.
Menjelang kunjungan ke Emirates, Chelsea memenangi lima daripada enam perlawanan dalam semua kejohanan.
Satu-satunya kekalahan Rosenior hadir ketika menentang Arsenal pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga.
Dalam tempoh tersebut, Chelsea merekodkan kemenangan ke atas Charlton Athletic, Brentford, Pafos, Crystal Palace, Napoli dan West Ham.
Prestasi itu membantu Chelsea menamatkan saingan fasa liga Liga Juara-Juara (UCL) dalam kelompok lapan terbaik serta melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), tujuh mata di belakang Manchester City di tempat kedua.
Sekiranya Chelsea berjaya menyingkirkan Arsenal dan mara ke final, mereka bakal bertemu Manchester City atau Newcastle United dalam perlawanan akhir Piala Liga di Stadium Wembley pada Ahad, 22 Mac ini.