Felda umum penangguhan potongan pendapatan peneroka selama tiga bulan

Iklan
Datuk Dr Othman Omar -Foto Sumber Internet

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan penangguhan potongan pendapatan peneroka bagi semua jenis pinjaman kebun dan sosioekonomi kecuali potongan Kedai D’Mart dan Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).

Pengarah Besarnya, Datuk Dr Othman Omar, berkata tempoh penangguhan selama tiga bulan itu bermula daripada penyata pendapatan April hingga Jun 2020, iaitu bagi hasil bulan Mac hingga Mei 2020.

Iklan
Iklan

"Ia diberi secara automatik kepada semua peneroka tanpa permohonan kepada pengurusan Felda. Potongan yang ditangguhkan ini akan dijadualkan semula selepas tamat tempoh penangguhan. Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada lebih 92,000 peneroka.

"Di samping itu, Felda juga telah mengambil langkah proaktif menyediakan Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) yang merupakan inisiatif Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) bersama-sama dengan Jabatan Pembangunan Peneroka dan Komuniti (JPPK) untuk membantu peneroka mengalami kesulitan, cabaran dan kekangan kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Katanya, maklumat lanjut tentang Penangguhan Potongan Pendapatan Peneroka dan sebarang persoalan boleh dimajukan ke alamat emel jkk@felda.net.my atau ke petimasuk Facebook FELDA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.

"Untuk membuat sumbangan kepada program PMKR, penyumbang boleh menghubungi Md Zulkifli Md Na’am di 013-9813322 atau Sulong Jamil di 012-2229012," katanya.

Iklan

Beliau turut berkongsi inisiatif Felda bagi meringankan beban kerajaan terutama Kementerian Kesihatan dalam persediaan menampung pesakit Covid-19.

"Walaupun menurut Kementerian Kesihatan, ketika ini kapasiti hospital sedia ada mencukupi, Felda mengambil langkah proaktif membuat persediaan bagi pusat-pusat kuarantin ini memandangkan jangkaan kementerian itu bahawa kes positif virus itu bakal meningkat pertengahan April ini.

"Setakat ini Felda telah menawarkan tiga buah asrama iaitu di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuanta,n Pahang. Tiga pusat latihan iaitu di Kuala Lumpur, Kerteh,Terengganu, Chini, Pahang dan empat Felda Residence iaitu di Tanjung Leman, Johor, Sungai Tekam Pahang, Trolak Perak dan Felda Sahabat di Sabah.

Jelasnya, kesemua fasiliti ini mempunyai kelengkapan bersesuaian bagi pusat kuarantin dan bakal menampung lebih 1,500 pesakit.

"Kini Felda Sahabat telah diaktifkan sebagai pusat kuarantin yang menampung seramai 52 pesakit. Manakala fasiliti lain akan diaktifkan mengikut keperluan dan kelulusan Kementerian Kesihatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, inisiatif PMKR yang digerakkan bertujuan membantu peneroka terjejas dan terputus bekalan makanan akibat Covid-19.

"Setakat ini, hampir 16,500 keluarga telah menerima bantuan PMKR. Antara sumbangan yang diberikan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum, sardin dalam tin, kicap, telur ayam, minyak masak, teh, kopi dan lain-lain barangan yang difikirkan sesuai.

"Untuk memastikan bekalan makanan yang berterusan, kami mengajak anak peneroka yang telah berjaya dan berkemampuan serta ahli korporat untuk tampil menyumbang barangan seperti yang dinyatakan.

"Semua sumbangan akan dikumpulkan di Pejabat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Kami Anak Felda (KAF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) atau badan-badan yang ditetapkan oleh rancangan seperti masjid serta surau untuk pengagihan," katanya.