Gurauan 'monyet' oleh suami berakhir dengan tragedi

Iklan
Impian Tannu Singh untuk bergelar model tidak kesampaian. - Foto: Agensi

LUCKNOW – Impian seorang wanita muda yang meminati dunia peragaan berakhir dengan tragedi apabila dia meninggal dunia dipercayai mengalami tekanan emosi susulan kata-kata penghinaan daripada suaminya.

Mangsa, Tannu Singh ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik berkunci di kediamannya di kawasan Indiranagar, Lucknow dan disahkan meninggal dunia di Hospital Ram Manohar Lohia pada Rabu, menurut polis Uttar Pradesh.

Iklan
Iklan

Menurut adik mangsa, Anjali, kejadian berlaku selepas mereka sekeluarga pulang dari rumah saudara di Sitapur pada petang hari yang sama.

Ketika berada di rumah, mereka dilaporkan sedang berbual dan bergurau sebelum suami mangsa, Rahul Srivastava secara spontan memanggil Tannu dengan gelaran ‘monyet’ yang dipercayai telah melukakan perasaannya.

Iklan

Berikutan itu, Tannu dikatakan keluar dari bilik utama dan masuk ke sebuah bilik lain seorang diri.

Rahul yang bekerja sebagai pemandu beca elektrik memaklumkan kepada polis bahawa suasana sebelum itu hanyalah gurauan biasa dan dia keluar sebentar untuk membeli makanan.

Iklan

Namun, apabila pulang dan meminta Anjali memanggil Tannu, mereka mendapati pintu bilik berkenaan berkunci dari dalam.

Anjali kemudian mengintai melalui tingkap dan melihat kakaknya tidak sedarkan diri sebelum menjerit meminta pertolongan.

Penduduk sekitar bersama Rahul bertindak memecahkan pintu dan membawa mangsa ke hospital, namun doktor mengesahkan Tannu telah meninggal dunia.

Polis menjalankan bedah siasat dan setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, sementara siasatan lanjut diteruskan. Tiada laporan rasmi bertulis dibuat oleh keluarga buat masa ini.

Ahli keluarga memaklumkan bahawa Tannu dan Rahul berkahwin kira-kira empat tahun lalu melalui perkahwinan cinta yang kemudiannya direstui kedua-dua pihak keluarga. Pasangan itu tidak mempunyai anak.

Menurut keluarga, Tannu mempunyai minat mendalam dalam bidang peragaan dan sering menyatakan hasrat untuk mencuba nasib sebagai model menjadikan kejadian itu lebih menyayat hati.

Kes ini sekali lagi mencetuskan perbincangan awam di India mengenai kesan kata-kata penghinaan, tekanan emosi dalam rumah tangga serta keperluan sokongan psikososial yang lebih kukuh, khususnya kepada wanita muda yang berdepan tekanan peribadi dan sosial. – Agensi