KULAI – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai bekerja secara haram dalam operasi penguatkuasaan di beberapa premis perniagaan sekitar Senai, pada Jumaat.
Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bermula kira-kira jam 10 pagi itu dilaksanakan menerusi Ops Selera, Ops Belanja, Ops Kutip dan Ops Dandan hasil maklumat orang awam serta risikan.
Jelas beliau, sasaran utama premis perniagaan termasuk kedai runcit, kedai gunting rambut serta premis makanan yang dikenal pasti menggaji atau melindungi PATI.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki warganegara Myanmar, enam lelaki Nepal, enam lelaki Bangladesh, enam lelaki India, seorang lelaki Pakistan, seorang wanita Indonesia, seorang wanita Nepal serta dua wanita Myanmar berusia antara 21 hingga 48 tahun.
"Kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan JIM Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan atau pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.