Wanita ditemui maut atas katil, teman lelaki kritikal

Iklan
Seorang wanita ditemukan maut dalam sebuah bilik di Taman Damai, awal pagi Jumaat.

BATU PAHAT – Seorang wanita ditemukan maut manakala teman lelakinya cedera parah dengan kesan kelar, apabila kedua-duanya ditemui baring bersebelahan di atas katil dalam sebuah bilik di Taman Damai, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kedua-dua mangsa ditemukan pada jam 12.30 pagi setelah polis bertindak polis memecahkan pintu rumah berkenaan yang didapati berkunci dari dalam.

Iklan
Iklan

“Setelah pintu berjaya dibuka, polis menemui mangsa seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dan suspek lelaki tempatan berusia 44 tahun yang juga teman lelaki mangsa terbaring bersebelahan di atas katil dalam sebuah bilik.

“Pemeriksaan lanjut bersama pegawai perubatan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), mendapati mangsa telah meninggal dunia, manakala suspek dalam keadaan kritikal dengan kecederaan kesan kelar di bahagian leher dan pergelangan tangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Tambah Shahrulanuar Mushaddat, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan jenayah sehingga menyebabkan kematian mangsa sebelum bertindak mencederakan diri sendiri.

Bagaimanapun katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.

Iklan

“Suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.