PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste) pada Khamis.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
"Siasatan dijalankan bagi meneliti dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan kedua-dua suspek itu.
Katanya, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan profesional mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan rasuah tanpa mengira kedudukan atau jawatan.
"SPRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti,” katanya.
Kes disiasat di bawah peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.