'Masa Iran kian suntuk' -Trump

Iklan
Seorang lelaki membaca akhbar berbahasa Parsi dengan tajuk “Iran bersedia memberi tindak balas besar” di sebuah kiosk di Teheran, susulan amaran Teheran terhadap kemungkinan serangan Amerika Syarikat. - AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk Iran mengelakkan campur tangan ketenteraan AS, ketika Teheran menolak sebarang rundingan dalam suasana penuh ancaman.

Trump tidak pernah menolak kemungkinan serangan baharu terhadap Iran susulan tindakan keras berdarah kerajaan republik Islam itu terhadap penunjuk perasaan bulan ini, selepas perang selama 12 hari pada Jun antara Iran dan Israel yang disokong serta disertai AS.

Iklan
Iklan

Sebuah kumpulan kapal induk tentera laut AS yang digambarkan Trump sebagai “armada”, diketuai kapal induk USS Abraham Lincoln, kini berada di perairan Asia Barat.

Sebuah kumpulan hak asasi manusia melaporkan pihaknya telah mengesahkan lebih 6,200 kematian, kebanyakannya penunjuk perasaan yang dibunuh oleh pasukan keselamatan, dalam gelombang demonstrasi yang menggoncang kepimpinan ulama sejak akhir Disember lalu dan memuncak pada 8 hingga 9 Januari.

Iklan

Aktivis mendakwa angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi, dengan sekatan internet yang berterusan menyukarkan pengesahan maklumat mengenai skala pembunuhan tersebut.

Dalam hantaran terbaharunya di Truth Social, Trump tidak menyentuh isu protes, sebaliknya menegaskan Iran perlu berunding mengenai program nuklearnya yang dipercayai Barat bertujuan membangunkan senjata atom.

Iklan

“Diharapkan Iran segera ‘datang ke meja rundingan’ dan berunding bagi mencapai perjanjian yang adil dan saksama dan ' tiada senjata nuklear' yang baik untuk semua pihak. Masa semakin suntuk, ia benar-benar mendesak,” kata Trump.

Merujuk kepada serangan AS terhadap sasaran nuklear Iran semasa perang Jun lalu yang menurutnya menyebabkan “kemusnahan besar terhadap Iran”, Trump menambah: “Serangan seterusnya akan menjadi jauh lebih teruk! Jangan biarkan perkara itu berlaku lagi.”

Penganalisis berkata, pilihan AS termasuk melancarkan serangan ke atas kemudahan ketenteraan atau serangan terarah terhadap kepimpinan tertinggi di bawah Ayatollah Ali Khamenei, dalam usaha berskala penuh untuk menjatuhkan sistem pemerintahan Iran yang berkuasa sejak Revolusi Islam 1979 yang menggulingkan Shah.

‘Kerosakan teruk’ 

Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata sebelum kenyataan Trump disiarkan bahawa “menjalankan diplomasi melalui ancaman ketenteraan tidak akan berkesan atau berguna”.

“Jika mereka mahu rundingan berlangsung, mereka mesti mengetepikan ancaman, tuntutan melampau dan isu-isu tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Araghchi berkata beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan utusan AS bagi Asia Barat, Steve Witkoff, dalam beberapa hari kebelakangan ini dan menegaskan bahawa “Iran tidak mencari rundingan”.

Ketua Staf Angkatan Tentera Iran, Habibollah Sayyari pula memberi amaran kepada AS supaya tidak melakukan sebarang “salah perkiraan”, sambil menegaskan bahawa “mereka juga akan menanggung kerosakan”.

Sementara itu, papan iklan baharu dilaporkan muncul di sekitar Teheran, termasuk satu yang memaparkan Iran menyerang kapal induk AS, menurut wartawan AFP. - AFP