SHAH ALAM – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) terus memperkukuh sistem bekalan air negeri dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada kawasan blackspot, malah turut melibatkan pemantapan perkhidmatan secara menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, antara perancangan utama ialah beberapa loji rawatan air sedia ada di seluruh negeri akan dinaiktaraf untuk memastikan sistem bekalan air lebih mampan, khususnya di kawasan yang sedang dan bakal mengalami pembangunan pesat.
“Suka atau tidak, pembangunan tetap berlaku, sebagai contoh, kawasan kampung yang dahulunya hanya mempunyai 10 rumah kini mungkin bertambah. Kita perlu tangani keperluan air seiring dengan perubahan semasa.
“Tahun 2026 dijangka lebih mencabar dengan pelaksanaan pendigitalan dan pemetaan yang lebih baik. Matlamat kita adalah untuk menyelesaikan masalah sedia ada serta memperkukuh sistem secara berperingkat dan berfasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Saiful Zaini, usaha pemantapan turut memberi penekanan kepada penggantian paip lama serta pengurusan aset air secara lebih sistematik.
Beliau berkata, PAIP memerlukan peruntukan kira-kira RM450 juta dalam tempoh dua tahun untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian paip lama di seluruh negeri secara berperingkat.
“Ketika ini Pahang mempunyai lebih 16,000 kilometer (km) rangkaian paip dan kira kira 25 peratus daripadanya merupakan paip lama jenis AC yang kerap bocor dan pecah.
“Isu bekalan air tidak boleh diselesaikan melalui satu projek sahaja kerana ia melibatkan keseluruhan sistem, bermula dari punca air hingga ke hujung agihan,” katanya.
Menurutnya, perancangan berfasa akan dilaksanakan bermula tahun 2026 bagi memastikan penyelesaian lebih holistik, termasuk pelaksanaan program townhall di semua daerah bagi memperincikan hala tuju serta keutamaan pelan penggantian paip.
Mengulas lanjut, Saiful Zaini berkata, bagi tahun 2026, PAIP menyasarkan pengurangan ketara masalah paip bocor serta penurunan jumlah aduan pengguna berkaitan gangguan bekalan air.
“Projek penukaran paip berskala besar akan dilaksanakan tertakluk kepada kelulusan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang disasarkan selewat-lewatnya pada suku kedua 2026.
“Walaupun tidak semua paip usang dapat diganti dalam tempoh singkat, pendekatan progresif selama dua hingga tiga tahun diyakini mampu memastikan sistem bekalan air negeri lebih stabil dan berdaya tahan,” ujarnya.
Isu bekalan air Lanchang: Dari angkat sepanduk kini penduduk berterima kasih
Mengulas isu bekalan air di Lanchang, Pahang, Saiful Zaini berkongsi pengalaman pasukan PAIP mengendalikan masalah serius di kawasan tersebut kira-kira empat tahun lalu sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.
Katanya, kedudukan Kampung Lanchang yang terletak di hujung sistem agihan Loji Air Lubuk Kawah, Temerloh menyebabkan tekanan air rendah dan bekalan tidak mencukupi bagi menampung keperluan penduduk.
“Antara langkah diambil ialah pembinaan Loji Air Karak Fasa 2 yang siap pada tahun 2024, sekali gus membantu menambah bekalan walaupun tidak menyelesaikan masalah sepenuhnya.
“Punca sebenar ialah keupayaan loji sedia ada. Oleh itu, PAIP memperuntukkan RM12.8 juta bagi menaik taraf serta menukar sistem pam di Loji Air Lubuk Kawah (Sungai Daratan), sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran air melebihi 500 meter padu sejam,” katanya.
Menurutnya, usaha berkenaan menunjukkan hasil ketara apabila masalah bekalan air di kawasan Lanchang berjaya diselesaikan, sekali gus mengembalikan keyakinan penduduk terhadap sistem bekalan air setempat.
“Sebelum ini penduduk pernah membuat petisyen dan mengangkat sepanduk kerana marah, namun kini mereka menyatakan rasa syukur selepas masalah bekalan air berjaya diatasi.
“Saya masih ingat sesi townhall ketika isu memuncak dipenuhi luahan kemarahan dan kekecewaan. Suasana berbeza dapat dilihat dalam program Sentuhan Rakyat Makmur bersama Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang berlangsung di dewan sama baru-baru ini apabila penduduk sendiri mengucapkan terima kasih,” katanya.
Peranan rakyat
Mengulas lanjut beliau berkata, sangat penting untuk rakyat Pahang memainkan peranan mereka dengan membuat aduan pada saluran yang betul sekiranya mempunyai sebarang masalah.
"Saya amat menghargai aduan rakyat kerana ia membantu memudahkan kami untuk menyelesaikan masalah.
"Bagaimanapun aduan hendaklah dibuat melalui saluran rasmi, bukan hanya di media sosial. Tidak semua masalah paip pecah di Pahang dapat diketahui tanpa maklumat daripada rakyat.
“Saya mohon untuk salurkan segala aduan atau pertanyaan tuan/puan di talian PULAPEL PAIP 09-5739999, yang beroperasi setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam" katanya.