KAJANG - Polis menyiasat insiden pelajar tahfiz yang dipukul tiga pelajar sekolah terbabit di sini hingga mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, 18 Januari lalu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, satu laporan kemudian diterima pihaknya pada Isnin lalu.
"Mangsa dipercayai dipukul tiga pelajar tahfiz yang sama sehingga menyebabkan mangsa mengalami lebam serta bengkak di tangan kiri dan kanan.
"Punca sebenar kejadian sedang disiasat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau kedua-duanya.
Tambahnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Muhammad Haniffa Abd Rajk di talian 019-7356544 bagi membantu siasatan.