ANDHRA PRADESH - Seorang pelajar kolej didakwa memperdaya seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ke sebuah bilik hotel sebelum melakukan serangan seksual terhadap mangsa, Jumaat lalu.
Mangsa yang tercicir daripada persekolahan dan berasal dari kawasan Tirupati Rural dilaporkan mengenali suspek, seorang pelajar tahun kedua dari Badwel, menerusi aplikasi Instagram kira-kira 10 hari sebelum kejadian.
Menurut polis, selepas berbalas mesej dalam tempoh singkat, kedua-duanya bertemu pada petang Jumaat.
Suspek berusia 22 tahun itu kemudiannya membawa mangsa ke sebuah bilik hotel sebelum didakwa merogolnya kira-kira jam 7.30 malam.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel turut menunjukkan beberapa lelaki lain tiba di bilik berkenaan tidak lama selepas itu, sekali gus menimbulkan syak bahawa perbuatan tersebut telah dirancang bagi mengeksploitasi mangsa dengan lebih lanjut.
Bagaimanapun, mangsa berjaya melarikan diri dari hotel berkenaan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada ibunya sebelum mereka membuat laporan polis pada keesokan hari.
Pasukan polis telah menjalankan pemeriksaan di bilik hotel bagi mengumpul bukti forensik, manakala mangsa dibawa ke Hospital Ruia untuk menjalani pemeriksaan perubatan.
Ketua Inspektor Lingkaran Alipiri, Ram Kishore berkata, pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek mendapati terdapat sejarah memperdaya gadis-gadis melalui media sosial, selain menemui beberapa perbualan berunsur lucah yang dipercayai digunakan untuk tujuan eksploitasi dan pemerasan.
Beliau berkata, suspek dijangka ditahan secara rasmi pada Selasa.
“Ini merupakan trend yang berbahaya dan membimbangkan dalam kalangan golongan muda. Suspek mempunyai sejarah tingkah laku sedemikian.
“Polis juga sedang menyiasat individu lain yang kelihatan dalam rakaman CCTV dan disyaki mempunyai niat untuk mengambil kesempatan terhadap mangsa,” katanya.