Warga emas maut, isteri cedera, kenderaan dinaiki rempuh tembok Plaza Tol Bentong

Iklan
Keadaan Toyota Hilux dipandu mangsa selepas terbabit kemalangan di Plaza Tol Bentong pada Isnin.

BENTONG - Lelaki warga emas maut manakala isterinya hanya cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbalik setelah merempuh tembok di Plaza Tol Bentong di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam nahas itu, pemandu kenderaan jenis Toyota Hilux, Sapri Aziz, 65 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penumpang wanita berusia 61 tahun dipercayai isteri mangsa dilaporkan cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati pasangan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Raub menghala ke Kuala Lumpur.

Iklan

Pemandu seorang lelaki warga emas meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu merempuh tembok keselamatan salah satu lorong di plaza tol itu sebelum terbalik ke kiri," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Iklan

Zaiham berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan saksi kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kawasan plaza tol terbabit," ujarnya.

Zaiham meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil membantu siasatan.