Lebih 10 klinik kesihatan terima manfaat Tabung CovidSinar

Iklan
Klinik Kesihatan Segambut yang telah mendapat kemudahan khemah hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung CovidSinar.

SHAH ALAM - Lebih 10 klinik kesihatan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur telah mendapat manfaat daripada Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) yang diaktifkan sejak 18 Mac lalu.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, manfaat atau bantuan yang disalurkan itu merupakan hasil sumbangan orang ramai kepada petugas kesihatan dalam mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara bantuan yang telah disalurkan kepada klinik-klinik kesihatan terbabit termasuklah topeng muka, peralatan perlindungan diri (PPE), sanitizer, ‘boots cover’, ‘isolation gown’ dan juga tujuh unit khemah.

"Selain peralatan dan keperluan petugas kesihatan, kita turut memberi penekanan terhadap keperluan lain seperti khemah dalam usaha menyediakan prasarana yang lebih kondusif ketika kerja saringan wabak Covid-19 dilakukan.

Iklan

"Kita tahu klinik kesihatan kebiasaannya mempunyai kawasan yang terhad dan dengan pertambahan jumlah kes wabak ini khususnya di kawasan merah (red zone) pastinya ia mengundang kesesakan dalam kalangan pesakit.

"Jadi dengan adanya kemudahan khemah yang lengkap dengan kipas, ia sedikit sebanyak dapat membantu petugas kesihatan melakukan kerja-kerja saringan dengan lebih selesa, begitu juga pesakit,” katanya.

Iklan
Auzani sentiasa memastikan setiap sumbangan yang diterima dapat diagihkan kepada klinik-klinik kesihatan yang terlibat mengikut keperluan masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat pengumpulan Tabung CovidSinar di Kumpulan Karangkraf di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Auzani berkata, sehingga kini lebih 15 buah khemah telah diagih dan dipasangkan di beberapa klinik kesihatan termasuklah di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam, tiga Pusat Kesihatan Kepong di Klinik Kesihatan Segambut, Jinjang dan juga Klinik Kesihatan Batu.

"Malah kemudahan ini turut disediakan di berapa kawasan merah wabak Covid-19 seperti di Pusat Kesihatan Lembah Pantai dan Pusat Kesihatan Titiwangsa, selain turut diagihkan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan serta Institut Jantung,

"Jadi, kita mengharapkan dengan adanya kemudahan ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan lagi petugas kesihatan dalam melakukan kerja-kerja saringan wabak Covid-19 dengan selesa,” katanya.

Sinar Harian mengaktifkan CovidSinar bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan dalam mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Usaha tersebut juga bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja). #sinaruntukfrontlinerscovid, #rakyatbanturakyat, #kitalahmalaysia.