KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Isteri ketiga kepada bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas satu pertuduhan melibatkan kes pengubahan wang haram.
Tertuduh, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, Salwani didakwa telah menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad miliknya di Jertih, Besut pada 16 Januari lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil haram iaitu RM25,000 atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi dibicarakan bersama kes yang melibatkan suami tertuduh.
Hakim turut membenarkan tertuduh diikat jamin dengan menggunakan syarat wang jaminan yang sama seperti yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.
Mahkamah menetapkan 30 Mac 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmi Abd Moin.
Terdahulu Salwani dilihat tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kira-kira jam 8.25 pagi dengan menaiki kenderaan berwarna hitam.
Sejurus turun daripada kereta, Salwani yang sebelum ini dilaporkan menghidap bisul kronik di paha menggunakan kerusi roda memasuki bangunan mahkamah.
Salwani dilihat berjalan terhincut-hincut memasuki kandang tertuduh dan duduk di atas kerusi apabila mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Sebaik prosiding selesai, tertuduh kembali ke kenderaan dengan menaiki kerusi roda dan bangun sambil dipimpin masuk ke dalam kenderaan.
Sementara itu, Fahmi ketika ditemui berkata, anak guamnya akan pulang ke Kuala Lumpur pada esok atau Rabu untuk menjalani prosedur membuang bisul tersebut.
"Seperti yang sedia maklum beliau sedang mengalami sedikit masalah bisul dan akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani prosedur untuk membuang bisul tersebut," katanya.