JOHOR BAHRU – Seorang pekerja am maut apabila motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 7.2, Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik (EDL) menghala ke pusat bandar, pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.30 petang melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dengan lori.
Iklan
Iklan
“Mangsa berusia 26 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC seorang diri menghala ke pusat bandar sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori yang diletakkan di tepi bahu jalan menyebabkan mangsa jatuh di tengah jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat kecederaan di kepala sementara pemandu lori warga tempatan berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff di talian 017-5919208 bagi membantu siasatan.
“Polis turut menasihatkan kesemua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhilah undang-undang jalan raya.
“Selain itu pastikan mendapat rehat secukupnya ketika memandu dan kenderaan berada dalam keadaan yang baik bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.