SHAH ALAM – Sebuah kilang perabot dan bengkel kereta musnah dalam kebakaran di Jalan Serai Wangi M 16/M, Seksyen 16 di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.32 tengah hari sebelum jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan sebuah kilang perabot berkeluasan 160 x 100 kaki persegi yang terbakar kira-kira 85 peratus serta sebuah bengkel kereta berkeluasan 80 x 100 kaki persegi yang turut terbakar pada kadar sama.
"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua bangunan kelas B dan kerja-kerja pemadaman segera dilakukan bagi mengawal api daripada merebak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, seramai 34 anggota bomba dari beberapa balai terlibat dalam operasi pemadaman.
"Antara anggota terlibat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dengan bantuan BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara, BBP Pelabuhan Klang dan BBP Petaling Jaya.
"Operasi turut menggunakan beberapa jentera termasuk jentera pemadam kebakaran dan jentera tangki air bagi mempercepatkan kerja-kerja pemadaman," katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.13 petang.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.