Jentolak mini tergelincir, lelaki parah tersepit

Iklan
Anggota bomba cuba menyelamatkan mangsa yang dihimpit sebuah jentolak mini di Jalan Bintang, Taman Koperasi Bahagia.

BATU PAHAT – Seorang lelaki cedera apabila jentolak mini yang cuba dibawa masuk ke dalam lori satu tan tergelincir dan menyebabkan tubuhnya tersepit di celah lori berkenaan dalam kejadian di Jalan Bintang, Taman Koperasi Bahagia, di sini, petang semalam.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan I Ikhsaan Husaini Mahat, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.35 petang semalam.

Iklan
Iklan

Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Perkhidmatan Penyelamatan, Perubatan, Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke lokasi sejauh dua kilometer (km).

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan tersebut melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 51 tahun yang tersepit di celah sebuah lori.

Iklan

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa cuba melakukan kerja-kerja mengalih jentolak mini yang digunakan bagi kerja-kerja menebang pokok ke atas lori menggunakan ramp.

“Bagaimanapun, salah satu rantai roda jentolak mini itu tergelincir menyebabkan mangsa tersepit antara jentera dan bahagian bumbung lori terbabit,” katanya.

Iklan

Tambah Ikhsaan Husaini, anggota bomba kemudiannya berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, anggota bomba memberikan bantuan awal (CPR) kepada mangsa sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk menerima rawatan lanjut.

“Operasi dapat dikawal pada jam 7 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam,” katanya.