Tabika, Tadika Kemas persiap murid ke prasekolah - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pecah Tanah QL Innofood Park di Hutan Melintang pada Ahad. Foto: Bernama

BAGAN DATUK – Tabika dan Tadika Kemas terus memainkan peranan penting dalam menyediakan murid berusia tiga dan empat tahun sebelum melangkah ke prasekolah menerusi penyelarasan kurikulum yang selari dengan sistem prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa prasekolah kini diselaraskan sepenuhnya di bawah KPM dengan mewajibkan kanak-kanak berumur lima tahun mengikuti kelas prasekolah di sekolah kebangsaan dan institusi pendidikan di bawah kementerian tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Tabika dan Tadika Kemas, bersama prasekolah Perpaduan serta institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun.

"Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa Kemas meneruskan kelas-kelas yang sedang berjalan sekarang ini, begitu juga institusi yang saya sebutkan tadi.

Iklan

"Kurikulum yang dilaksanakan mengikut kurikulum acuan yang sedia ada. katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park, Hutan Melintang di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Iklan

Ahmad Zahid bagaimanapun menjelaskan, satu penyelarasan serta pengubahsuaian kurikulum perlu dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan silibus dan mata pelajaran antara pendidikan awal di Kemas dengan prasekolah di sekolah kebangsaan.

"Penyelarasan ini penting supaya wujud kesinambungan silibus dengan kelas prasekolah di sekolah kebangsaan untuk murid berumur lima tahun.

"Persiapan juga akan diadakan dengan teliti dan Kemas akan menjadi 'feeder classes for preschool students',” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, Pelan Pendidikan Malaysia yang digariskan ketika ini adalah bersifat terkini dan disesuaikan dengan keperluan semasa, khususnya dalam menyediakan murid enam tahun untuk memasuki Tahun 1.

Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja memperkukuh asas pendidikan awal kanak-kanak, malah memastikan proses peralihan ke alam persekolahan formal berjalan lebih lancar dan tersusun.

Ketika ini seramai 187,978 orang kanak-kanak berdaftar di 10,523 Tabika Kemas di seluruh negara.