GEORGE TOWN – Dua kereta rosak dihempap sebatang pokok di Jalan Kaki Bukit, Gelugor di sini pada Sabtu.
Kejadian kira-kira jam 11.32 pagi itu melibatkan kereta jenis Perodua Axia dan Nissan Grand Livina.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis bagaimanapun berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak telah digerakkan ke lokasi kejadian yang mana jentera pertama tiba pada jam 11.41 pagi.
Katanya, ia melibatkan 10 anggota bomba termasuk penyelia dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender dan Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan.
“Kita menjalankan penilaian awal situasi dengan memakai kelengkapan perlindungan diri lengkap sebelum mengarahkan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang menggunakan peralatan gergaji berantai,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
John Sagun berkata, operasi yang ditamatkan pada jam 12.11 tengah hari itu turut mendapat bantuan daripada agensi luar termasuk MBPP dan Tenaga Nasional Berhad.
"Selepas kerja-kerja pembersihan selesai, lokasi kejadian diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Dalam pada itu John berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terutama ketika cuaca tidak menentu dan melaporkan segera sebarang kejadian berisiko kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.