KUALA LUMPUR – Perbuatan menyebarkan, mendedahkan atau memaparkan maklumat peribadi seseorang individu tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan undang-undang dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perbuatan berkenaan termasuk pendedahan alamat kediaman, nombor telefon, nombor pengenalan diri serta maklumat keluarga, khususnya di platform dalam talian.
"Perbuatan itu dikenali sebagai doxing dan boleh disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.
"Antaranya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Seksyen 507E, 507F(1) atau 507F(2) Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, PDRM turut mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri berhubung penyebaran maklumat peribadi seorang individu di platform digital.
Mohd Khalid menegaskan, prinsip perlindungan data peribadi terpakai kepada semua individu tanpa mengira latar belakang, pandangan atau situasi semasa.
"Tindakan menyebarkan maklumat peribadi tidak boleh dijadikan alasan untuk perbuatan balas dendam, ugutan atau gangguan dalam talian.
"Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penyebaran maklumat peribadi serta mengamalkan etika dan tanggungjawab dalam penggunaan platform digital," katanya.
Menurutnya, PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan keselamatan awam.