JERANTUT - Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya merempuh sebuah lori lain yang berada dalam kedudukan melintang di tengah jalan di Kilometer 24 Jalan Jerantut-Pulau Tawar-Jengka 24 di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Ahmad Shalabay Abdul Hamid, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Mohd Azahari Mukhtar berkata, kemalangan itu berlaku membabitkan lori Hino LRF dan lori Nissan (Rigid).
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori Nissan yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun baru selesai membuang pasir di bahu kiri jalan.
"Namun lori (Nissan) berkenaan kemudiannya berada dalam keadaan melintang dan menghalang laluan di lokasi tersebut.
"Mangsa yang sedang memandu lurus dari arah Bukit Nikmat dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar lori tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius manakala pemandu lori Nissan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.