KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua kes guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM552,481.90 dan masing-masing satu pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) membabitkan RM3 juta dan menerima RM200,000 sejak 2024 lalu.
Mohd Nizam, 60, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
"Faham (pertuduhan), tidak mengaku bersalah Yang Arif," kata Mohd Nizam yang memakai kot berwarna hitam ketika berdiri di kandang tertuduh dengan memegang tongkat.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT, telah menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri sendiri iaitu melibatkan jumlah RM267,481.90 dan RM285,000.
Dia dituduh melantik lima syarikat untuk menjalankan kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, beg galas dan tuala mandi untuk bungkusan barang hari raya bagi tahun 2025 kepada TKAT.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, di sini pada 24 Jun 2024.
Dia dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa ketika menjawat jawatan sama, diamanahkan wang sejumlah RM3 juta di akaun bank milik TKAT, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.
Dia dituduh menyalahgunakannya dengan membuat pelaburan tambahan di sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT di lokasi sama pada 4 Oktober 2024.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi pertuduhan keempat, dia selaku PAT ATM, telah menerima untuk diri sendiri wang RM200,000 dengan tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat berusia 57 tahun, yang diketahui mungkin mempunyai kena mengena dalam urusan yang akan dijalankan oleh tertuduh.
Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, di sini pada Mac 2025.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
"Ia termasuk syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman dan Nidzuwan Abd Latip.
Bagaimanapun, peguam, Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Mohd Nizam merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.
"Selain menyara keluarga, anak guam saya juga menjaga ibu bapa yang berusia 88 dan 82 tahun.
"Mohd Nizam telah berkhidmat dalam ATM selama 42 tahun malah sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekali gus memberi gambaran anak guamnya sentiasa memberi komitmen kesetiaan tanpa berbelah bahagi.
"Sepanjang siasatan, anak guam terpaksa menangguhkan dan menjadualkan semula tiga prosedur pembedahan bagi memberi ruang siasatan dilengkapkan dengan segera.
“Kami juga tidak membantah syarat tambahan berkenaan,” katanya yang hadir bersama peguam lagi peguam, Surya Putra Taulan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM180,000 bagi semua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 31 Mac depan.