PN telah terima permohonan MIC sejak tahun lalu - Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) telah menerima permohonan MIC untuk menyertai gabungan itu sejak tahun lalu dan keputusan akhir kini terletak di tangan kepimpinan parti berkenaan.

Bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu bukan lagi rahsia dan ia telah dipertimbangkan secara menyeluruh oleh kepimpinan gabungan tersebut.

Iklan
Iklan

“Permohonan itu mereka kemukakan dan kami telah pertimbangkannya. Malah, keputusan untuk menerima MIC sudah dibuat sejak tahun lalu,” katanya kepada media pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Majlis Tertinggi PN telah meluluskan permohonan MIC untuk menyertai gabungan berkenaan.

Iklan

Spekulasi bahawa MIC akan menjalin kerjasama dengan PN tercetus apabila parti itu menerima ‘risikan’ daripada pemimpin Pas untuk menyertai gabungan pembangkang berkenaan.

Ia susulan usul yang dibawa oleh perwakilan MIC untuk keluar daripada BN kerana merasakan mereka dipinggirkan dalam Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Muhyiddin berkata, MIC kini diberi ruang untuk menentukan sendiri hala tuju politik mereka dan masa yang sesuai bagi memberi kata putus berhubung keputusan tersebut.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran telah diberikan mandat penuh oleh parti untuk membuat keputusan, selain perbincangan turut melibatkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

“Saya sentiasa berhubung dengan Vigneswaran dan Saravanan apabila mereka datang berbincang.

“Jika MIC sertai kami, ia seolah-olah semua parti politik India berada dalam atau berkaitan dengan PN,” ujarnya.

Pada Khamis, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengesahkan bahawa MIC masih kekal sebagai komponen parti itu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman bahawa MIC telah keluar daripada BN seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Beliau turut menyifatkan bahawa perkara itu hanya sebagai spekulasi dan menegaskan bahawa kerjasama antara parti komponen dalam keadaan baik.