LIPIS – Hasrat seorang warga emas untuk membeli barangan keperluan tidak kesampaian apabila motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori penghantar makanan di Kilometer 25, Jalan Lipis-Benta, Simpang Kampung Peruang di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Mohd Jazar Mat Piah, 84, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Benta.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori Isuzu berusia 30 tahun dalam perjalanan dari Raub menghala ke bandar Kuala Lipis.
"Pemandu lori tersebut dalam perjalanan untuk menghantar bekalan makanan manakala mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave pula dalam perjalanan untuk membeli barang.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan berkenaan telah bertembung," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Ismail, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Benta untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, pada jam 12 tengah hari, pihak klinik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Pemandu lori pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, Ismail menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, berhemah dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi menjamin keselamatan.
"Pihak IPD Lipis turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa di atas kehilangan berkenaan," katanya.