Pemandu Myvi terlibat nahas dengan anggota polis ditahan

Iklan
Laporan Sinar harian berhubung kemalangan maut melibatkan seorang anggota polis di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Rabu.

IPOH – Pemandu kereta Perodua Myvi yang sebelum ini dilaporkan melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan sehingga meragut nyawa seorang anggota polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada Rabu telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan terhadap pemandu wanita berusia 80 tahun itu dibuat di pekarangan pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ipoh pada hari yang sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek merupakan seorang pesara dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan ketika ditahan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati keputusan adalah negatif,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Koperal Mohd Hafizan Othman, 33, yang bertugas di Balai Polis Kampung Rapat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Semasa kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dan sedang dalam perjalanan untuk memulakan tugasan syif jam 4 petang hingga 11 malam.

Iklan

Pemeriksaan polis di lokasi mendapati, pemandu kenderaan melarikan diri dengan meninggalkan kereta berhampiran lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Abang Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek datang dari arah Jalan Lengkok Harimau sebelum membelok ke kanan untuk memasuki laluan bertentangan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Katanya, tindakan tersebut menyebabkan perlanggaran berlaku di laluan motosikal mangsa yang sedang bergerak lurus di jalan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

"Kedua-dua kenderaan terlibat turut ditahan bagi pemeriksaan lanjut di PUSPAKOM,” katanya.