TWINCITY Marathon 2026 terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara acara larian berprestij di negara ini apabila berjaya menarik penyertaan lebih 21,000 peserta daripada 33 negara.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding edisi 2025 yang mencatatkan sekitar 13,000 peserta, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan daripada komuniti pelari tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, selaku penganjur acara, Mohd Bukhari Ismail berkata, pihaknya tidak menjangkakan sambutan luar biasa terhadap edisi ke-11 penganjuran tersebut.
Menurut beliau, pendaftaran dibuka seawal Jun 2025 dengan sasaran awal 18,000 peserta sebelum ditutup lebih awal pada November selepas jumlah penyertaan melebihi 21,000 orang.
“Kami percaya peningkatan ini didorong oleh kesedaran terhadap gaya hidup sihat serta jenama Twincity Marathon yang semakin dikenali sebagai acara maraton utama di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, Twincity Marathon 2026 yang berlangsung pada 17 dan 18 Januari lalu menawarkan enam jarak larian iaitu tiga kilometer (km), 5km, 10km, 12km, 21km dan 42km di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.
Menurutnya, jarak 12km, 21km dan 42km dibahagikan kepada kategori terbuka dan veteran, manakala jarak 10km dikhususkan untuk kategori friendship run.
Tambah beliau, jarak 5km terbuka kepada peserta berusia lima tahun ke atas, manakala 3km melibatkan kategori kanak-kanak dan remaja.
Mohd Bukhari berkata, acara utama terus menjadi tumpuan apabila 21km mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 10,600 peserta, diikuti 12km (4,500 peserta) dan 42km (3,500 peserta).
Beliau turut memaklumkan laluan larian tahun ini mengalami sedikit perubahan bagi memberi pengalaman baharu kepada peserta, selain membolehkan mereka menikmati panorama sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.
“Lebih 85 peratus peserta berjaya menamatkan larian dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Dalam kategori maraton penuh 42km terbuka lelaki, pelari tempatan Muhamad Haziq Hamzah muncul juara, manakala kategori wanita dimenangi Noor Pamela Musa.
Kesemua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi kemenangan.
Sejak diperkenalkan pada 2014, Twincity Marathon telah menghimpunkan lebih 70,000 peserta dari dalam dan luar negara, sekali gus membuktikan kejayaan berterusan acara tersebut.