NAKHON RATCHASIMA - Atlet lempar cakera negara Colorine Sijang, 47, membuktikan usia bukan jadi penghalang untuk mempamerkan semangat juang seterusnya muncul juara acara wanita F40,F41 pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025.
Atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu menghadiahkan pingat emas buat negara hasil lontaran sejauh 12.82 meter (m) di Stadium His Majesty the King’s 80th Birthday Anniversary, sekali gus mencipta rekod baharu temasya.
Catatan tersebut memadam rekod lama milik atlet Thailand Kannikon Yaemmali (10.83m) yang dicipta pada edisi APG Solo, Indonesia 2022.
Tambah bermakna kejayaan Colorine hadir pada penampilan sulungnya di APG, dengan menyifatkan pencapaian itu hasil keazaman tinggi untuk terus memperbaiki prestasi diri selepas beraksi pada Para Sukma Sarawak 2024.
"Saya cuma mahu buat yang terbaik. Ketika Para Sukma saya berjaya catat lebih 11m, jadi di APG ini saya memang sasarkan untuk tingkatkan lagi,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika upacara penyampaian pingat di sini hari ini.
Colorine berkata, kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu jurulatih, keluarga serta seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Sarawak yang sentiasa mempercayai kemampuannya.
Ibu kepada dua anak itu menyifatkan saat mendengar lagu Negaraku dikumandang ketika upacara penyampaian pingat pengalaman yang sukar dilupakan dan akan kekal terpahat dalam ingatan sepanjang hayat.
"Ini APG pertama saya, terharu dan teruja. Semua pengorbanan, latihan tiga bulan di Kuala Lumpur, akhirnya berbaloi,” katanya yang menegaskan bahawa kecekalan mental menjadi kunci utama untuk terus kekal bersaing di peringkat tertinggi meskipun berdepan cabaran faktor usia.
Dalam saingan sama, pingat perak menjadi milik atlet Myanmar Akari Chaw dengan lontaran sejauh 12.32m manakala pingat gangsa diraih seorang lagi wakil Malaysia Mazzdiana Nuratasya Abd Rahim yang mencatat 12.23m.
Dua lagi atlet negara, Nor Syalila Mat Nor dan Siti Zaidah Mokhtar, masing-masing menamatkan saingan di tempat keempat dan kelima dengan catatan 11.86m dan 10.28m. - Bernama