MIC masih bersama BN - Zambry

Iklan
Zambry ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu pada Rabu.

KOTA KINABALU -  [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengesahkan bahawa MIC masih kekal sebagai komponen parti itu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman bahawa MIC telah keluar daripada BN seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kita tidak menerima apa-apa sehingga semalam, beberapa hari ini pun masih berada dalam hubungan yang baik. Jadi sebarang laporan yang mengatakan bahawa mereka keluar ataupun tidak, kita tidak mengambil itu sebagai sumber sahih sehingga dimaklumkan.

"Bagaimanapun, saya yakin bahawa MIC masih tetap bersama dengan BN sehingga kini," katanya semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini pada Rabu.

Iklan

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut menyifatkan bahawa perkara itu hanya sebagai spekulasi dan menegaskan bahawa kerjasama antara parti komponen dalam keadaan baik.

Iklan

"Mesyuarat hari ini mereka tidak dapat hadir disebabkan oleh kekangan masa, begitu juga dengan beberapa orang yang lain.  Bagaimanapun mesyuarat dapat diteruskan kerana jumlah kehadiran mencukupi. 

"Tiada isu berbangkit berkaitan dengan masalah itu yang dibincangkan. BN sentiasa bersangka baik dan mungkin sebarang spekulasi yang dibuat itu kita anggap sebagai hanya satu spekulasi," ujarnya.

Sebelum itu, beliau turut memaklumkan antara keputusan yang diambil dalam mesyuarat tersebut adalah penyertaan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam BN dan penyusunan barisan kepimpinan BN Sabah termasuk pelantikan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Pengerusi BN Sabah. 

"Pengerusi BN sendiri telah memutuskan beberapa perkara, yang pertama, pelantikan Datuk Seri Arthur Joseph sebagai Pengerusi BN negeri Sabah, diikuti pelantikan Timbalan Pengerusi BN Sabah, iaitu Datuk Jafry Ariffin dan Setiausaha BN Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub," katanya.