MCMC siasat laporan media salah terjemah titah Agong - Fahmi

Iklan
Fahmi

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung kandungan dalam talian terbitan sebuah organisasi media yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen pada Isnin.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan itu dimulakan susulan aduan rasmi dikemukakan orang awam mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan itu berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.

"Sekiranya terdapat laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak, perkara berkenaan adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, Fahmi menggesa Majlis Media Malaysia sebagai badan bebas memainkan peranan sebagaimana diperuntukkan, termasuk memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat, serta menjadi platform pengawalseliaan kendiri dalam menangani aduan serta isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen melampau atau bersifat fitnah khususnya di media sosial, selain sentiasa menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

Iklan

Pada Isnin, organisasi media terbabit memuat naik kandungan di Facebook berkongsi titah Sultan Ibrahim dengan tajuk ‘Tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia’ sebelum menukarnya kepada ‘Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia’.

Susulan itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung dilaporkan membuat laporan polis terhadap syarikat terbabit berhubung penyiaran laporan berita dalam talian yang didakwa memesongkan Titah Diraja semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.