JOHOR BAHRU – Seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di jalan raya dipercayai menjadi punca nahas membabitkan tiga kereta, sebuah motosikal dan sebuah rumah di Jalan Permas 1, Permas Jaya, petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu melibatkan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Jelas beliau, lelaki berusia 26 tahun itu memandu sebuah Honda City dari Pasir Gudang menghala ke Taman Bukit.
"Tindakan pemandu berkenaan mengelak seekor anjing yang tiba-tiba melintas menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Seterusnya melanggar sebuah motosikal, sebuah rumah serta tiga buah kereta yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Tambah Raub, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar di talian 017-591 9208," ujarnya.
Sebelum itu, tular video dan gambar di lokasi menunjukkan keadaan tiga buah kereta mengalami kerosakan teruk akibat nahas.
Bahagian hadapan sebuah rumah juga dilihat rosak akibat dilanggar oleh kenderaan yang terlibat dan orang ramai berkumpul di hadapan rumah berkenaan.